KEPENTINGAN AKAUN UNTUK USAHAWAN

KEPENTINGAN AKAUN UNTUK USAHAWAN

Kalau ditanya berkenaan akaun dikalangan orang yang menjalankan perniagaan. Boleh dikatakan majoriti perniaga akan mengaku alami masalah perakaunan. Malah ada yang beranggapan bank akaun tu adalah akaun untuk menunjukkan kedudukan syarikat. Sangatlah salah dengan menganggap akaun bank dapat menunjukkan kedudukan kewangan yang sebenar.

Ramai yang tidak menyedari keperluan mempunyai akaun yang lengkap. Akaun atau penyata kewangan yang lengkap ialah akaun yang terdiri imbangan duga, penyata untung dan rugi serta penyata aliran tunai. Di dalam

1) Imbangan duga

Kita dapat mengetahui kedudukan syarikat dari permulaan kita menjalankan perniagaan. Di dalam imbangan duga kita juga boleh ketahui kedudukan aset, libiliti dan ekuiti syarikat kita. Sangat lah penting kita mengetahui kedudukan sebenar syarikat kita sebelum membuat sesuatu keputusan seperti membeli bangunan, memberi bonus pada pekerja, membuat pelaburan dan membuat pinjaman dengan bank.

2) Penyata Untung Rugi

Melalui penyata untung rugi kita dapat mengenalpasti kedudukan semasa perniagaan kita dari segi perjalanan operasi. Ini bermakna melalui penyata ini kita boleh ketahui lebih tepat mengenai operasi syarikat samaada menghasilkan keuntungan atau kerugian.

3) Penyata aliran tunai

Menunjukkan kedudukan aliran tunai syarikat. Dari penyata ini kita boleh mengenalpasti tunai perniagaan banyak kearah operasi, pelaburan atau kewangan. Syarikat juga boleh mengetahui baki sebenar tunai yang boleh digunakan untuk sebarang pembayaran atau perbelanjaan.

Kelemahan ini sering terjadi disebabkan beberapa perkara. Diantara punca akaun tidak dapat disediakan dengan tepat dan dikemaskinikan ialah:-

1) Tidak mahu tanggung kos melantik akauntan @ upah luar

Masalah ini sering berlaku pada perniaga kecil dan selalunya yang baru mula perniagaan. Disebabkan tiada asas perakaunan yang baik, mereka memilih untuk tidak mengemaskini secara bulanan. Kebanyakkan mereka memilih untuk mengemaskini secara tahunan. Risiko yang dihadapi jika mengemaskini secara tahunan ialah transaksi tidak tepat, dokumen hilang dan maklumat tidak cukup.

2) Tidak menyimpan rekod & dokumen dengan betul

Masalah ini juga antara punca utama peniaga memilih untuk tidak mengemaskini perakaunan mereka. DIsebabkan kelemahan dalam sistem menyimpan rekod dan dokumen. Mereka lambat bertindak untuk melantik pekerja pentadbiran atau kerani akaun.

3) Tidak mempunyai masa yang cukup

Kebanyakkan perniaga sibuk dengan aktiviti operasi perniagaan. Untuk mereka tumpu pada hal-hal berkaitan pentadbiran terutama berkaitan akaun adalah jarang akan mereka lakukan. Akhirnya wujudlah masalah dari segi simpanan rekod dan kemaskini akaun.

4) Tidak tahu kepentingan akaun

Ini juga tidak dapat dinafikan antara punca utama masalah perakaunan tidak dapat kemaskini. Perniaga lebih menjadikan baki dalam bank sebagai keuntungan yang sebenar beliau dapat. Perniaga akan mengambil langkah mudah dengan menjadi baki dalam bank untuk digunakan dan membuat belian.

Oleh itu, saya rasa sangat bertanggungjawab untuk memastikan peniaga-peniaga di luar bertindak dengan betul. Sebaik-baiknya dari permulaan menjalankan perniagaan, peniaga sudah mula fikir tentang pentadbiran dan pengurusan. Untuk membuat persediaan akaun yang lepas tanpa kemaskini dengan baik bukan semudah yang disangkakan. Ia melibatkan masa dan perlu memikirkan semula transaksi yang sudah lepas. Kesilapan yang sering dilakukan amat merugikan perniaga. Bukan sekadar risiko membuat keputusan yang salah malah risiko untuk dikenakan kompaun oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam juga akan wujud.

Untuk usahawan diluar, dalam memastikan kita boleh berjaya dalam perniagaan. Amatlah digalakkan dalam memastikan penyediaan akaun yang baik dan tersusun. Kelebihan dalam menyediakan akaun antaranya ialah:-

1) Dapat mengenalpasti kedudukan kewangan syarikat

Sangat penting kita kenalpasti kedudukan kewangan syarikat untuk mengelak dari kita membuat perbelanjaan yang tidak sesuai pada waktu dan mengelak dari masalah aliran tunai. Terlalu ramai perniaga yang mengalami masalah kena sekat dari membuat transaksi di bank disebabkan masalah baki bank yang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan yang dibuat. Sangatlah menyukarkan urusan perniagaan jika urusan bank telah disekat untuk tempoh tertentu. Untuk mengelak perkara ini terjadi adalah penting akaun dikemaskini selalu.

2) Dapat membuat analisa dan perancangan

Melalui penyediaan penyata kewangan yang lengkap, kita dapat mengetahui dan menganalisa kewangan syarikat kita. Samaada kita bergerak dengan betul dan menguntungkan atau sebaliknya. Diantara analisa yang kita boleh buat ialah:-

a) Nisbah Kecairan

Tujuannya ialah untuk merujuk kepada keupayaan syarikat untuk memenuhi tuntutan kematangan jangka pendek atau obligasi. Ia terdiri beberapa perkara seperti modal kerja bersih, nisbah semasa dan nibah cepat.

b) Nisbah Pengurusan Aset

Nisbah ini merujuk pada kecekapan syarikat untuk menggunakan aset dan berapa cepat akaun tertentu boleh ditukarkan kepada jualan dan tunai. Ia sangat penting memastikan aset yang berada di syarikat seperti penghutang, inventori dan aset tetap mampu menukarkan ke jualan dan tunai.

c) Nisbah Keberuntungan

Nisbah ini merujuk kepada keberkesanan syarikat dalam menjana pulangan daripada pelaburan dan jualan. Contohnya, margin keuntungan kasar, margin keuntungan bersih, margin keuntungan operasi, pulangan daripada aset dan pulangan daripada ekuiti. Dalam margin untung kasar diguna untuk mengetahui samaada keuntungan kasar perniagaan yang diperolehi adalah sesuai dengan perniagaan yang dilakukan. Ini bermakna jika perniaga tersebut menjual perabot, maka beliau hendaklah memastikan margin yang diperolehinya tidak jauh dengan pesaingnya. Jika tidak beliau hendaklah memikirkan untuk membuat beberapa tindakan seperti meningkatkan harga jualan atau mengurangkan kos.

d) Nisbah Nilai Pasaran

Nisbah nilai pasaran merujuk kepada kebolehan syarikat untuk mewujudkan nilai pasaran melebihi kos pelaburan. Kecairan, pengurusan aset dan nisbah leveraj mengukur risiko syarikat tersebut, manakala nisbah keberuntungan mengukur pulangan syarikat.

3) Dapat mengenalpasti dan mengelak penyelewengan

Penyelewengan mudah berlaku jika tiada kawalan pada aliran tunai dan kawalan pada duit keluar. Jika akaun tidak dapat dikemaskini maka ia memudahkan pihak tertentu untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang wujud. Sebagai contoh, kerani kerap menyediakan bayaran pendahuluan pada pekerja syarikat. Disebabkan tiada rekod tentang bayaran pendahuluan tersebut. Maka tindakan untuk mendapat maklumat terperinci serta dokumen sokongan pada pekerja tersebut juga tidak dibuat. Akibatnya syarikat terpaksa menanggung kerugian disebabkan kelemahan pengurusan dan penyelewengan pekerja mereka.

4) Merancang percukaian syarikat bagi tahun semasa

Hakikatnya, syarikat mempunyai pilihan dalam memastikan jumlah cukai yang dibayar adalah tepat dan mengikut keuntungan yang sebenar bagi tahun semasa tersebut. Sekiranya syarikat mensasarkan cukai yang sepatutnya bagi tahun semasa, syarikat perlu memantau perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Perkara ini hanya boleh dilakukan sekiranya syarikat sentiasa memantau akaun, corak pengaliran pendapatan dan perbelanjaan syarikat.

5) Merancang strategi pengurusan risiko

Setiap keputusan yang dibuat syarikat akan membawa risiko tersendiri. Risiko syarikat perlu diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan berlakunya risiko yang tidak mampu ditanggung. Pemantauan akaun secara berkala perlu dilakukan. Sebagai contoh, risiko bankrupsi boleh diuruskan dengan mengetahui aliran transaksi duit masuk, memantau kutipan penghutang secara aktif, dan memantau transaksi duit keluar atau perbelanjaan.

6) Pinjaman mudah diluluskan

Dengan menyediakan akaun secara berkala, syarikat dapat merancang corak aliran kewangan syarikat bagi memastikan syarikat membuat keuntungan yang kukuh bagi tahun semasa. Ini penting bagi pihak bank untuk menilai pinjaman yang akan diluluskan. Selain itu,pihak syarikat perlu menyediakan akaun yang terkini kepada pihak bank. Antara kriteria lain dalam memudahkan kelulusan pinjaman ialah, akaun yang tersusun dan lengkap.

Setiap ahli perniagaan mestilah mempunyai disiplin diri bagi merekod dan menganalisa prestasi perniagaan sekurang-kurangnya sekali di dalam seminggu. Ini penting bagi menjejaki aliran kewangan syarikat dan mendapatkan data terkini. Antara tips yang boleh dipraktikkan dalam syarikat ialah:

1) Merekod transaksi duit tunai

Peniaga seharusnya merekod segala transaksi melibatkan duit tunai samaada aliran keluar atau masuk. Ini penting bagi memastikan duit di tangan selari dengan angka yang direkod. Selain itu, rekod juga membolehkan peniaga membuat analisa bentuk perbelanjaan dan penerimaan tunai. Analisa yang dibuat membolehkan peniaga membuat perancangan seperti penjimatan perbelanjaan.

Untuk merekod buku tunai, senaraikan jumlah wang yang diletakkan sebagai duit tunai syarikat.. Kemudian, senaraikan dan tolakkan jumlah setiap pembelian dan perbelanjaan yang berlaku melibatkan duit tunai. Apabila tunai di tangan sudah kehabisan, anda perlulah menambah semula wang tunai dan perlulah merekodnya. Sentiasa memantau buku tunai bagi memastikan tunai ditangan sepadan dengan baki yang telah direkod.

2) Pengeluaran Invois Jualan Terkini

Invois jualan merupakan dokumen transaksi yang amat penting bagi membuktikan produk jualan atau perkhidmatan telah disediakan kepada pelanggan perniagaan. Ianya amat penting untuk dikeluarkan dan dihantar kepada pelanggan agar bayaran yang dikenakan dapat dikutip berdasarkan produk atau perkhidmatan yang telah dikeluarkan.

Kutipan tunai dari para pelanggan amatlah penting demi menjamin kelancaran aliran tunai sesebuah perniagaan terutamanya dalam menanggung segala komitmen perbelanjaan perniagaan serta kos untuk menghasilkan satu-satu jualan. Tanpa kutipan tunai ini, perniagaan tidak akan berjalan dengan lancar.

3) Merekod Bil & Perbelanjaan Overhead

Bil-bil pembelian mestilah direkod serta dijelaskan mengikut jangkamasa yang dipersetujui bersama para pembekal. Ini adalah penting supaya bahan-bahan mentah yang dibekalkan dapat diterima pada masa yang telah ditetapkan supaya ianya tidak mengganggu proses jualan perniagaan dari masa ke semasa.

Merekodkan semua bil-bil semasa serta perbelanjaan syarikat ini dapat membantu anda untuk menganalisa berapakah kos operasi syarikat anda. Anda juga dengan mudah untuk memotong perbelanjaan yang tidak diperlukan seperti bil-bil tambahan untuk berjumpa pelanggan agar bisnes anda lebih menguntungkan.

4) Memeriksa Penyata Akaun Perniagaan

Penyata Akaun Semasa perniagaan yang dibuka di bank-bank perdagangan amat penting kerana ianya merupakan sumber rekod utama pembayaran dan penerimaan tunai dari pembekal dan pelanggan perniagaan. Setiap penyata ini menunjukkan berapa banyakkah keuntungan serta kos yang diperlukan setiap minggu.

Kaedah hubungan perniagaan yang menggunakan transaksi pembayaran cek-cek perniagaan akan ditunjukkan di dalam Penyata Akaun Semasa dari masa ke semasa. Penyata Akaun Semasa ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan di dalam menganggarkan prestasi dan keupayaan perniagaan di masa hadapan.

5) Memeriksa Transaksi Urusniaga

Pemeriksaan dokumen transaksi-transaksi perniagaan seperti yang dinyatakan ini amatlah penting bagi menjamin setiap barangan belian dan jualan direkodkan. Ia dapat membantu ahli perniagaan untuk melihat keupayaan bisnes dan merangka strategi bisnes untuk jangka masa panjang.

Keupayaan seseorang ahli perniagaan memastikan rekod yang baik akan mengurangkan risiko kehilangan barangan perniagaan, memastikan penyimpanan stok berada di tahap optimum serta pengurusan aliran tunai yang cekap. Ia dapat memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kerugian perniagaan.

Sentiasa kita bertindak dengan bijak setiap apa yang kita lakukan dalam perniagaan. Jangan kita memandang rendah kepentingan akaun dalam perniagaan. Banyak kita dapat selamatkan dan merancang dengan lebih baik dalam setiap aktiviti perniagaan atau pelaburan kita. Semoga kita menjadi bijak mengurus dan bijak bertindak.

Apakah itu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

Apakah itu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

Pada tahun 2012, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mewujudkan satu entiti perniagaan yang baru iaitu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT). Masih ada yang keliru tentang entiti perniagaan baru ini dari segi perbezaan dengan entiti perniagaan yang lain. Malah ada yang tertanya tentang kelebihan atau kelemahan memilih entiti perniagaan ini. Bulan ini saya ingin berkongsi tentang isu yang sering menjadi persoalan berkaitan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT).

Sebelum kita berbincang kelebihan dan kelemahan entiti perniagaan yang baru ini. Adalah lebih baik kita mengetahui tentang perkongsian Liabiliti Terhad ini.

Apakah PLT?

Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah satu entiti perniagaan alternatif yang dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. PLT ini menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat (Sdn. Bhd. atau Berhad) dan perkongsian konvensional.

Struktur perniagaan PLT direka untuk semua tujuan perniagaan yang sah di sisi undang-undang bertujuan untuk mendapat keuntungan. Ia sesuai untuk semua jenis perniagaan yang ingin menikmati ciri-ciri kelebihan pada syarikat. PLT seperti entiti perniagaan lain iaitu hanya boleh ditubuhkan atas dasar tujuan perniagaan bukan atas tujuan kebajikan.

PLT juga boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti Peguam, Akauntan Bertauliah dan Setiausaha Syarikat bagi tujuan menjalankan amalan profesional mereka. Di mana sebelum ini golongan profesional lebih cenderung menguna entiti pemilikan tunggal dan perkongsian konvesional. Konsep PLT juga akan menyokong perniagaan baru dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan aset peribadi serta keperluan pematuhan yang ketat.

Antara ciri-ciri utama yang perlu di ketahui dalam PLT ialah memberi perlindungan liabiliti terhad kepada rakan-rakan kongsinya sama seperti liabiliti terhad yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat. Maksudnya sebarang liabiliti yang wujud seperti tindakan pengulungan pada PLT tidak akan ditanggung secara peribadi pada rakan-rakan kongsi. Apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung dan dibayar daripada harta PLT tersebut dan bukan daripada harta rakan-rakan kongsinya.

PLT boleh membuat peraturan perniagaan dalaman hasil perbincangan dan persetujuan antara rakan-rakan kongsi seperti pada sesebuah perkongsian konvesional. Tiada keperluan mandatori untuk perjanjian perkongsian. Sekiranya tiada perjanjian maka peruntukan di bawah Jadual 2 Akta PLT akan terpakai secara automatik. PLT tidak seperti syarikat yang tertakluk kepada keperluan pematuhan yang lebih ketat seperti yang terkandung di dalam Akta Syarikat 1965.

PLT mempunyai status undang-undang perbadanan pertubuhan yang boleh menyaman dan disaman atas nama PLT itu sendiri. PLT juga boleh memiliki aset atas namanya dan melakukan semua perkara lain yang sah di sisi undang undang atas namanya yang sama seperti sebuah perbadanan pertubuhan yang lain.

PLT juga menawarkan fleksibiliti dari segi penubuhan, penyelenggaraan dan penamatan. PLT juga boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri dan tarikan yang dinamik agar dapat bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa. Dengan pengenalan PLT dalam industri, para usahawan akan mempunyai lebih banyak entiti perniagaan untuk dipilih mengikut kesesuaian perniagaan mereka.

Perbezaan PLT dan perkongsian konvensional

PLT menawarkan liabiliti terhad kepada rakan kongsinya, di mana apa-apa hutang PLT akan di tanggung sepenuhnya oleh aset-aset PLT. Manakala perkongsian konvesional, rakan kongsi mempunyai tanggungan liabiliti secara bersama dan berasingan dengan firma perkongsian tersebut.

Perbezaan PLT dan syarikat

Terdapat banyak perbezaan yang ketara antara PLT dan syarikat. Antaranya ialah:-

1) Tiada keluaran saham

Di dalam syarikat ada keluaran saham yang perlu diisukan untuk di jadikan modal. Manakala di dalam PLT, modal adalah dalam bentuk modal kongsi oleh rakan kongsi. Di mana tiada keluaran saham yang perlu diisukan.

2) Fleksibiliti membuat keputusan

Di dalam syarikat perlu mengikut prosuder atau keperluan formal seperti Mesyuarat Agung Tahunan dalam membuat keputusan. Manakala di dalam PLT tidak perlu mengikut keperluan formal seperti syarikat untuk membuat keputusan.

3) Tiada keperluan untuk mengemukan penyata kewangan kepada SSM

Kewajipan di berikan kepada syarikat untuk mengemukan penyata kewangan yang beraudit ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kelewatan membolehkan syarikat dan pengarah-pengarah boleh dikenakan penalti. Untuk PLT, tidak perlu menghantar penyata kewangan kepada SSM. Malah PLT juga tidak perlu membuat audit untuk penyata kewangan yang disediakan.

Bagaimana cara untuk mendaftar PLT?

PLT perlu di daftarkan oleh pegawai pematuhan yang bertindak seperti setiausaha syarikat. Ia boleh di daftarkan melalui permohonan dalam sistem “MyLLP” di laman sesawang SSM. Permohonan hendaklah di buat kepada Pendaftar. Antara maklumat yang perlu disediakan ialah:-

a) Cadangan nama PLT

Pemilihan nama seperti entiti perniagaan lain antaranya ialah nama yang di pilih mempunyai maksud, tiada kaitan dengan keluarga Diraja, tiada kaitan dengan agensi kerajaan pusat dan negeri.

b) Jenis perniagaan

Menyatakan jenis perniagaan yang ingin di lakukan di dalam PLT. Jenis perniagaan yang di pilih hendaklah tiada unsur-unsur jenayah dan tujuan untuk mendapat keuntungan.

c) Alamat pejabat berdaftar

Alamat ini ialah tempat yang diguna untuk menyimpan segala maklumat serta buku daftar berkenaan PLT tersebut. Ia boleh menguna alamat pegawai pematuhan atau alamat perniagaan tersebut beroperasi.

d) Nama dan butir-butir rakan kongsi

SSM perlu butir-butir lengkap mengenai semua rakan kongsi yang berada dalam PLT. Rakan kongsi hendaklah minimun 2 orang dan tiada had maksimun untuk bilangan rakan kongsi. Ia boleh terdiri daripada individu (orang perseorangan) atau pertubuhan perbadanan sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripada PLT.

Di galakkan rakan kongsi yang berada di dalam PLT tidak terlalu ramai. Ia seperti entiti perniagaan lain. Sebarang keputusan mudah untuk dilakukan jika mempunyai ahli atau rakan kongsi yang tidak terlalu ramai. Berapa jumlah sebenar bergantung kepada jenis perniagaan dan fungsi setiap rakan kongsi dalam PLT tersebut.

e) Nama dan butir-butir pegawai pematuhan serta surat kelulusan (untuk kes amalan profesional)

Nama dan butir-butir lengkap individu yang dilantik sebagai pegawai pematuhan. Pegawai pematuhan boleh lebih dari seorang.

*** Siapakah Pegawai Pematuhan?

Pegawai pematuhan bertindak memastikan sebarang perubahan pada struktur dalaman PLT tersebut direkod dan dikemaskinikan. Beliau juga bertanggungjawab jika ingin membuat pengulungan pada PLT tersebut. Wajib pegawai pematuhan yang di lantik merupakan warganegara atau pemastautin di Malaysia. Ia boleh di kalangan rakan kongsi atau seseorang yang layak untuk memenuhi keperluan tadi seperti setiausaha syarikat, akauntan bertauliah dan peguam.

Pegawai pematuhan bertanggungjawab terhadap sebarang penalti akibat kesalahan pentadbiran yang dikenakan terhadap PLT tersebut oleh SSM. Sebagai contoh gagal mengemaskini rekod dalaman PLT di dalam rekod/daftar dan dalam sistem di SSM.

Tempoh proses yang diperlukan untuk memproses permohonan pendaftaran bergantung kepada keperluan syarat-syarat seperti di atas dipenuhi sepenuhnya. Suatu notis pendaftaran akan dikeluarkan serta-merta selepas penyerahan permohonan melalui sistem MyLLP jika syarat telah dipenuhi.

Bagaimana dengan rekod perakaunan dalam PLT?

PLT masih perlu menyimpan segala rekod perakaunan untuk membolehkan akaun PLT disediakan dapat memberi pandangan sebenar dan adil tentang kedudukan hal ehwal PLT. PLT juga terlibat untuk menyimpan rekod perakauanan selama 7 tahun untuk tujuan pencukaian dan pemeriksaan dari pihak pematuhan.

Namun ia tiada peruntukkan perundangan untuk menetapkan perakaunan PLT mengikut piawaian perakaunan seperti yang diwajibkan terhadap syarikat.

Adakah PLT diwajibkan untuk membuat pengistiharan cukai di LHDN?

PLT seperti entiti perniagaan lain, dimana PLT hendaklah menghantar borang nyata cukai pendapatan dan membayar cukai yang wajib terhadapnya. Pendaftaran untuk mendapat nombor fail cukai hendaklah di buat mengguna CP600PT. PLT juga terikat dengan sebarang akta-akta yang terdapat dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Manakala kadar cukai yang dikenakan keatas PLT seperti syarikat. Di mana PLT akan di kenakan cukai atas nama entiti tersebut. Manakala rakan kongsi akan dikenakan cukai terhadap sebarang pendapatan yang diperolehi dari PLT atas nama individu.

PLT ini satu entiti baru yang di perkenalkan pada tahun 2012, saya akan cuba menerangkan lebih terperinci tentang PLT ini untuk edisi yang seterusnya. Antara yang saya akan kongsi ialah syarat dan cara untuk membuat pertukaran entiti perniagaan sedia ada ke PLT. Saya juga akan berkongsi kelebihan dan kelemahan yang ada pada PLT yang mungkin akan membantu pembaca untuk memilih entiti perniagaan yang terbaik untuk mereka.

Di harapkan pembaca dapat terus menanti untuk sesi perkongsian seterusnya.

—–

Oleh :-

Amsyari Zarir Bin Abdul Shakur
(AMACC MANAGEMENT SERVICES)

AKTA SYARIKAT 2016

AKTA SYARIKAT 2016, APA PERUBAHAN YANG ANDA PERLU TAHU?

Akta syarikat 2016 sudah dikuatkuasakan pada 31 Januari 2017. Majoriti pemegang saham, pengarah syarikat dan usahawan diluar tidak mengetahui perubahan yang berlaku pada akta baru tersebut. Setelah 51 tahun kita mengunakan Akta Syarikat 1965, akhirnya akta baru untuk syarikat telah diperbahurui. Kini untuk sebarang perkara dan rujukan berkaitan syarikat adalah dibawah Akta Syarikat 2016. Namun persoalan kini ialah apa yang perlu kita tahu dengan kewujudan Akta Syarikat 2016 ini.

Untuk menjawab persoalan tersebut, saya akan menerangkan lebih terperinci tentang beberapa perkara yang perlu diambil tahu. Perubahan akta ini dilakukan atas 4 objektif penting iaitu:-

  1. Memudahkan orang awam dan mengurangkan kos untuk membuka syarikat.
  2. Memudahkan cara kepada umum dalam memulakan perniagaan dari segi perubahan peraturan
  3. Pengurusan berkaitan urusan syarikat akan lebih mudah dan fleksibiliti.
  4. Meningkatkan kawalan dalaman, urustadbir korporat dan tanggungjawab korporat dari segi menguruskan perniagaan.

Atas 4 objektif utama tersebut, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melakukan perubahan dalam untuk akta. Perubahan tersebut sebenarnya sangat signifikan untuk diketahui orang ramai. Tentunya perubahan ini dilakukan SSM dalam usahakan meramaikan bakal usahawan untuk melakukan perniagaan di Malaysia.

Perubahan yang perlu diketahui umum adalah seperti dibawah:-

1) Hanya seorang Pengarah dan Pemegang Saham

Sebelum kewujudan Akta Syarikat 2016, antara perkara wajib dalam pemerbadanan syarikat ialah minimum mempunyai 2 orang pengarah dan 2 pemegang saham. Dalam proses memudahkan pembukaan syarikat, SSM menetapkan hanya seorang sahaja sudah boleh membuka Sdn Bhd. Bermaksud hanya seorang pemegang saham dan seorang pengarah sahaja sudah boleh memulakan proses pembukaan Sdn. Bhd.

Namun untuk pemerbadanan Berhad, tetap memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang pemegang saham dan 2 orang pengarah syarikat. Tiada perubahan untuk syarikat yang berstatus Berhad.

Kelebihan yang diberi ini juga perlu diambil kesempatan oleh mereka yang berniaga secara perseorangan dan memerlukan entiti perniagaan berstatus Sdn Bhd. Ia juga memberi jalan penyelesaian pada syarikat yang mempunyai masalah dengan rakan kongsi mereka.

2) Tiada Harga Par untuk unit modal

Dalam Akta Syarikat 2016, tiada lagi sekatan untuk menetapkan jumlah RM untuk 1 unit modal berbayar. Bermakna selepas ini, 1 unit sudah menjadi pilihan pemegang saham untuk tetapkan berapa jumlah harga perunit syer syarikat mereka.

Sebelum ini, sebarang pembelian syer berbayar ditetapkan oleh SSM ialah RM1 untuk 1 unit syer.

3) Tiada lagi Modal Dibenarkan

Dalam Akta Syarikat 1965, untuk kita meletakkan jumlah modal berbayar sebagai modal syarikat bergantung pada jumlah maksimun modal dibenarkan. Bermaksud jika modal dibenarkan kita hanya 400,000 unit, maka kita tidak boleh meletakkan modal berbayar melebihi 400,000 unit. Dalam akta syarikat sebelum ini juga menetapkan setiap modal dibenarkan mempunyai bayaran yang berbeza perlu dibayar ke SSM. Jadual bayaran tersebut seperti dibawah:-

Fi Modal

Untuk Akta Syarikat 2016, tiada lagi wujud modal dibenarkan. Ini bermakna syarikat boleh mempunyai syer berbayar tanpa memikirkan jumlah modal dibenarkan sebagai tanda aras. Kemudahan ini diberikan untuk menjimatkan kos penubuhan syarikat dan memudahkan syarikat dalam meningkatkan modal berbayar.

Sebelum ini sering wujud kesukaran untuk naikkan modal berbayar melebihi tanda aras modal dibenarkan. Ini disebabkan perlu menunggu tingkatkan modal dibenarkan di SSM sebelum dapat tingkatkan modal berbayar. Kini proses meningkatkan modal berbayar tidak perlu mengambil masa yang lama dan mudah.

4) Penyerahan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Beraudit

Dalam Akta Syarikat 1965, syarikat menyerahkan laporan tahunan “annual return” dan penyata kewangan beraudit dalam tempoh 7 bulan 14 hari selepas tempoh akaun syarikat ditutup. Ini bermakna, jika syarikat tutup tempoh akuan pada 31 Disember 2016, laporan tahunan dan penyata kewangan beraudit hendaklah diserahsimpan di SSM pada 14 Februari 2017.

Dengan kewujudan Akta Syarikat 2016, tempoh untuk penyerahan laporan tahunan dan penyata kewangan sudah berubah. Selepas ini sebarang penyerahan laporan tahunan adalah mengikut tarikh penubuhan syarikat. Manakala penyerahan laporan kewangan beraudit adalah 6 bulan selepas tempoh akhir akaun syarikat ditutup. Dengan kewujudan akta ini, boleh mengurangkan risiko kelewatan menghantar laporan tahunan ke SSM. Dimana kelewatan sering berlaku disebabkan tidak dapat menyiapkan penyata kewangan beraudit mengikut waktu yang telah ditetapkan.

5) Mesyuarat Tahunan “Annual General Meeting”

Mesyuarat ini dilakukan untuk pembentangan oleh setiausaha syarikat mengenai penyata kewangan beraudit, dividen, status pengarah serta pemegang saham. Mesyuarat ini dilakukan untuk setiap tahun dan dalam tempoh 6 bulan selepas tempoh akhir akaun syarikat. Mesyuarat ini wajib untuk dilaksanakan dan dengan kehadiran majoriti pemegang saham serta kesemua pengarah.

Untuk Akta Syarikat 2016, mesyuarat ini tidak wajib lagi dilaksanakan. Ini bermakna syarikat boleh memilih untuk melakukan mesyuarat tahunan atau tidak. Antara sebab akta ini dimansuhkan ialah disebabkan kewujudan kemudahan hanya seorang pengarah dan seorang pemegang saham sudah boleh ada dalam syarikat. Dengan wujud kemudahan, sebarang keputusan hanya atas tanggungjawab seorang pengarah dan pemegang saham tersebut. Oleh sebab itu, SSM menetapkan tidak diwajibkan lagi untuk diadakan mesyuarat tahunan.

6) Proses Pemerbadanan Syarikat

Proses pemerbadanan Syarikat dipermudahkan lagi untuk Akta Syarikat 2016. Selain hanya seorang pengarah dan seorang pemegang saham. Pemilik boleh membuka Sdn Bhd tanpa perlu mengguna khidmat Setiausaha Syarikat Bertauliah. Pemilik boleh memilih untuk membuka Sdn Bhd dengan menggunakan sistem MYcoid yang diperkenalkan oleh SSM. Namun syarikat ini tetap perlu memilih seorang Setiausaha Syarikat Bertauliah dalam masa 30 hari dari tarikh ia diperbadanankan. Jika tidak ia akan menjadi kesalahan pada syarikat dan pengarah boleh dipertanggungjawab atas kesalahan tersebut.

7) Cop meterai pemerbadanan “Common Seal”

Sebelum wujud Akta Syarikat 2016, cop meterai pemerbadanan wajib ada untuk setiap syarikat yang berdaftar. Cop ini sering digunakan pada perjanjian serta sijil saham. Bermula 31 Januari 2017, tiada kewajipan untuk syarikat mempunyai cop meterai pemerbadanan. Dengan wujudnya kemudahan ini, akan mengurangkan kos untuk pemerbadanan syarikat dan mengelakkan dari salahguna cop tersebut.

8) Sijil Syer “Share Certificate”

Sijil Syer/ sijil Saham tidak lagi wajib untuk disediakan oleh setiausaha syarikat bertauliah. Ia menjadi pilihan samaada pemegang saham tersebut ingin memiliki sijil tersebut atau tidak. Namun setiausaha syarikat diwajibkan untuk merekod nama pemegang saham tersebut didalam Buku Daftar Pemegang Saham “Register of Member”.

9) Memorandum dan Artikel

Memorandum ialah dokumen yang diperlukan untuk menentukan hubungan syarikat dengan luar. Manakala artikel ialah perlembangaan syarikat dan pengurusan dalaman syarikat. Ia menjadi kewajipan untuk disediakan dalam proses pemerbadanan syarikat. Namun dengan kewujudan Akta Syarikat 2016, memorandum dan artikel ini tidak lagi menjadi kewajipan untuk disediakan dalam proses pemerbadanan syarikat.

10) Sijil Pemerbadanan

Dengan kewujudan Akta Syarikat 2016, tiada lagi sijil pemerbadanan disediakan sebagai dokumen bukti pemerbadanan syarikat tersebut. Namun pihak SSM belum menetapkan lagi bentuk notis yang akan disediakan untuk membukti pemerbadanan syarikat tersebut.

Dengan wujud beberapa perubahan dalam Akta Syarikat 2016, sememangnya memudahkan orang awam untuk memilih membuka Sdn Bhd dengan mudah. Dalam masa yang sama memberi peluang banyak pada usahawan untuk memilih entiti perniagaan yang sesuai. Sebelum ini sering wujud kesukaran membuka Sdn Bhd disebabkan terlalu banyak prosuder dan peraturan yang menyukarkan. Diantara masalah yang wujud ialah kesalahan memilih rakan kongsi untuk dijadikan pengarah syarikat dan pemegang saham. Akta Syarikat 2016 ini telah mengambilkira banyak perkara yang berbangkit dan memikirkan penyelesaian masalah yang wujud.