BORANG CP 58

Apa itu CP 58?

Anda  ada bayar insentif kepada ejen? Pening tak tahu kena isi borang CP58 atau tak perlu? Mari saya kongsikan sedikit berkenaan CP 58,

CP 58 ialah satu borang yang dikeluarkan oleh LHDN untuk diisi oleh syarikat pembayar insentif kepada  ejen, pengedar atau pengagih. Bentuk bayaran insentif tersebut boleh berbentuk wang tunai atau bukan wang tunai dan ia mesti  dianggap insentif yang boleh dikenakan cukai kepada penerima.

Insentif yang berbentuk wang tunai adalah seperti komisen dan bonus, manakala insentif berbentuk bukan wang tunai adalah seperti produk syarikat, kereta, rumah, pakej pelancongan dan emas.

Syarikat pembayar hendaklah mengisi dan menyediakan Borang CP58 untuk semua penerima insentif. Syarikat pembayar hanya perlu menyerahkan borang CP 58 kepada penerima insentif yang melebihi RM5,000 setahun. 

Namun, penerima yang menerima insentif kurang daripada RM5,000, syarikat pembayar perlu mengeluarkan borang jika diminta oleh penerima tersebut sahaja.

Syarikat pembayar perlu menyerahkan borang tersebut kepada penerima insentif selewat- lewatnya 31 Mac setiap tahun. Borang ini tidak perlu di serahkan kepada LHDN tapi perlu disimpan rapi oleh syarikat pembayar dan penerima.

Selain itu, syarikat pembayar perlu menyimpan senarai maklumat semua penerima insentif selama tujuh (7) tahun dari tahun asas insentif diberikan. Jika tiada bukti yang disimpan oleh syarikat pembayar, pembayaran insentif tersebut boleh dianggap sebagai belanja yang tidak dibenarkan. Maksudnya cukai syarikat pembayar akan tinggi.

Nilai insentif yang bukan berbentuk wang tunai (seperti rumah, emas , kenderaan) yang dinyatakan dalam borang CP58 adalah berdasarkan nilai yang dituntut oleh syarikat pembayar pada masa ia berlaku, bukan nilai semasa barang tersebut.

Contoh:

1.6.2020 syarikat pembayar ada memberi emas kepada seorang ‘top ejen’ dan nilai tersebut berharga RM 500, borang CP 58 perlu dihantar paling lewat pada 31.3.2021 kepada ejen. Syarikat pembayar perlu menggunakan nilai  RM 500 juga, bukan nilai semasa emas.

Selain itu, penerima insentif juga hendaklah melaporkan amaun yang ditunjukkan didalam borang CP 58 sebagai pendapatan dalam tahun taksiran insentif diterima. Maksudnya penerima perlu melaporkan amaun tersebut didalam borang B atau BE pada tahun insentif diterima.

Terdapat beberapa kekeliruan tentang kriteria syarikat pembayar yang perlu menyediakan dan mengisi borang CP58. Saya berikan dua situasi, sila rujuk rajah dibawah :

 

Bagi situasi A :  Syarikat yang perlu mengisi borang CP58

CP58

Situasi A ini ialah situasi yang perlu mengisi borang Cp 58, kerana syarikat pembayar (HQ) akan membayar insentif atau komisyen kepada ejen/ stokis.  Berapa sahaja nilai  insentif yang dikeluarkan oleh syarikat pembayar kepada ejen perlu direkod di dalam borang CP58.

 

Situasi B :  Syarikat yang perlu tak perlu mengisi borang CP58

CP58

Bagi Situasi B pula, ini adalah situasi syarikat yang tidak perlu mengisi borang CP 58. Ini kerana tiada langsung bayaran insentif yang dibuat oleh HQ kepada ejen atau stokis. Penambahan harga yang dikenakan stokis/ejen kepada pembeli ini bukan dikira sebagai insentif kepada ejen. Jadi tidak perlu HQ mengisi borang CP 58 .

—–

Kesimpulannya,  borang CP 58 perlu diisi oleh syarikat yang mempunyai ejen dan ada membuat bayaran insentif kepada ejen terhadap barangan atau servis yang di jual oleh ejen kepada pembeli.

Bayaran insentif ini tidak kira sama ada berbentuk wang tunai atau bukan perlu dinyatakan seluruhnya didalam borang tersebut. Hal ini kerana bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang akan dihadapi pada masa hadapan kepada syarikat pembayar atau ejen yang menerima insentif tersebut.

Borang CP 58  anda boleh dapatkan di laman sesawang LHDN.

Sekian,
Terima kasih.

 

Penulisan:

NUR HIDAYAH,

Account Executive , 
AMACC Corporate Services Sdn. Bhd.


 

#AMS


Untuk info tentang pengurusan bisnes, saya ada didalam

1) Facebook pages
@GenU

2) Telegram
@Genius Usahawan Advisory Channel

3) Instagram
@Genius Usahawan 

 

#amaccgroup
#LHDN
#celikcukai


Anda memerlukan khidmat nasihat berkenaan hal-hal persyarikatan seperti percukaian, perakaunan,  pengurusan sumber manusia dan pengurusan perniagaan? Hubungi AMACC di talian 03-89208081 atau 011-57536685 (Advisory Department) atau emailkan kepada contact@amacc.com.my Lebih mudah isikan maklumat anda di sini. Kami sedia membantu.

One Response

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *