Apakah itu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

Apakah itu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

Pada tahun 2012, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mewujudkan satu entiti perniagaan yang baru iaitu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT). Masih ada yang keliru tentang entiti perniagaan baru ini dari segi perbezaan dengan entiti perniagaan yang lain. Malah ada yang tertanya tentang kelebihan atau kelemahan memilih entiti perniagaan ini. Bulan ini saya ingin berkongsi tentang isu yang sering menjadi persoalan berkaitan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT).

Sebelum kita berbincang kelebihan dan kelemahan entiti perniagaan yang baru ini. Adalah lebih baik kita mengetahui tentang perkongsian Liabiliti Terhad ini.

Apakah PLT?

Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah satu entiti perniagaan alternatif yang dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. PLT ini menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat (Sdn. Bhd. atau Berhad) dan perkongsian konvensional.

Struktur perniagaan PLT direka untuk semua tujuan perniagaan yang sah di sisi undang-undang bertujuan untuk mendapat keuntungan. Ia sesuai untuk semua jenis perniagaan yang ingin menikmati ciri-ciri kelebihan pada syarikat. PLT seperti entiti perniagaan lain iaitu hanya boleh ditubuhkan atas dasar tujuan perniagaan bukan atas tujuan kebajikan.

PLT juga boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti Peguam, Akauntan Bertauliah dan Setiausaha Syarikat bagi tujuan menjalankan amalan profesional mereka. Di mana sebelum ini golongan profesional lebih cenderung menguna entiti pemilikan tunggal dan perkongsian konvesional. Konsep PLT juga akan menyokong perniagaan baru dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan aset peribadi serta keperluan pematuhan yang ketat.

Antara ciri-ciri utama yang perlu di ketahui dalam PLT ialah memberi perlindungan liabiliti terhad kepada rakan-rakan kongsinya sama seperti liabiliti terhad yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat. Maksudnya sebarang liabiliti yang wujud seperti tindakan pengulungan pada PLT tidak akan ditanggung secara peribadi pada rakan-rakan kongsi. Apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung dan dibayar daripada harta PLT tersebut dan bukan daripada harta rakan-rakan kongsinya.

PLT boleh membuat peraturan perniagaan dalaman hasil perbincangan dan persetujuan antara rakan-rakan kongsi seperti pada sesebuah perkongsian konvesional. Tiada keperluan mandatori untuk perjanjian perkongsian. Sekiranya tiada perjanjian maka peruntukan di bawah Jadual 2 Akta PLT akan terpakai secara automatik. PLT tidak seperti syarikat yang tertakluk kepada keperluan pematuhan yang lebih ketat seperti yang terkandung di dalam Akta Syarikat 1965.

PLT mempunyai status undang-undang perbadanan pertubuhan yang boleh menyaman dan disaman atas nama PLT itu sendiri. PLT juga boleh memiliki aset atas namanya dan melakukan semua perkara lain yang sah di sisi undang undang atas namanya yang sama seperti sebuah perbadanan pertubuhan yang lain.

PLT juga menawarkan fleksibiliti dari segi penubuhan, penyelenggaraan dan penamatan. PLT juga boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri dan tarikan yang dinamik agar dapat bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa. Dengan pengenalan PLT dalam industri, para usahawan akan mempunyai lebih banyak entiti perniagaan untuk dipilih mengikut kesesuaian perniagaan mereka.

Perbezaan PLT dan perkongsian konvensional

PLT menawarkan liabiliti terhad kepada rakan kongsinya, di mana apa-apa hutang PLT akan di tanggung sepenuhnya oleh aset-aset PLT. Manakala perkongsian konvesional, rakan kongsi mempunyai tanggungan liabiliti secara bersama dan berasingan dengan firma perkongsian tersebut.

Perbezaan PLT dan syarikat

Terdapat banyak perbezaan yang ketara antara PLT dan syarikat. Antaranya ialah:-

1) Tiada keluaran saham

Di dalam syarikat ada keluaran saham yang perlu diisukan untuk di jadikan modal. Manakala di dalam PLT, modal adalah dalam bentuk modal kongsi oleh rakan kongsi. Di mana tiada keluaran saham yang perlu diisukan.

2) Fleksibiliti membuat keputusan

Di dalam syarikat perlu mengikut prosuder atau keperluan formal seperti Mesyuarat Agung Tahunan dalam membuat keputusan. Manakala di dalam PLT tidak perlu mengikut keperluan formal seperti syarikat untuk membuat keputusan.

3) Tiada keperluan untuk mengemukan penyata kewangan kepada SSM

Kewajipan di berikan kepada syarikat untuk mengemukan penyata kewangan yang beraudit ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kelewatan membolehkan syarikat dan pengarah-pengarah boleh dikenakan penalti. Untuk PLT, tidak perlu menghantar penyata kewangan kepada SSM. Malah PLT juga tidak perlu membuat audit untuk penyata kewangan yang disediakan.

Bagaimana cara untuk mendaftar PLT?

PLT perlu di daftarkan oleh pegawai pematuhan yang bertindak seperti setiausaha syarikat. Ia boleh di daftarkan melalui permohonan dalam sistem “MyLLP” di laman sesawang SSM. Permohonan hendaklah di buat kepada Pendaftar. Antara maklumat yang perlu disediakan ialah:-

a) Cadangan nama PLT

Pemilihan nama seperti entiti perniagaan lain antaranya ialah nama yang di pilih mempunyai maksud, tiada kaitan dengan keluarga Diraja, tiada kaitan dengan agensi kerajaan pusat dan negeri.

b) Jenis perniagaan

Menyatakan jenis perniagaan yang ingin di lakukan di dalam PLT. Jenis perniagaan yang di pilih hendaklah tiada unsur-unsur jenayah dan tujuan untuk mendapat keuntungan.

c) Alamat pejabat berdaftar

Alamat ini ialah tempat yang diguna untuk menyimpan segala maklumat serta buku daftar berkenaan PLT tersebut. Ia boleh menguna alamat pegawai pematuhan atau alamat perniagaan tersebut beroperasi.

d) Nama dan butir-butir rakan kongsi

SSM perlu butir-butir lengkap mengenai semua rakan kongsi yang berada dalam PLT. Rakan kongsi hendaklah minimun 2 orang dan tiada had maksimun untuk bilangan rakan kongsi. Ia boleh terdiri daripada individu (orang perseorangan) atau pertubuhan perbadanan sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripada PLT.

Di galakkan rakan kongsi yang berada di dalam PLT tidak terlalu ramai. Ia seperti entiti perniagaan lain. Sebarang keputusan mudah untuk dilakukan jika mempunyai ahli atau rakan kongsi yang tidak terlalu ramai. Berapa jumlah sebenar bergantung kepada jenis perniagaan dan fungsi setiap rakan kongsi dalam PLT tersebut.

e) Nama dan butir-butir pegawai pematuhan serta surat kelulusan (untuk kes amalan profesional)

Nama dan butir-butir lengkap individu yang dilantik sebagai pegawai pematuhan. Pegawai pematuhan boleh lebih dari seorang.

*** Siapakah Pegawai Pematuhan?

Pegawai pematuhan bertindak memastikan sebarang perubahan pada struktur dalaman PLT tersebut direkod dan dikemaskinikan. Beliau juga bertanggungjawab jika ingin membuat pengulungan pada PLT tersebut. Wajib pegawai pematuhan yang di lantik merupakan warganegara atau pemastautin di Malaysia. Ia boleh di kalangan rakan kongsi atau seseorang yang layak untuk memenuhi keperluan tadi seperti setiausaha syarikat, akauntan bertauliah dan peguam.

Pegawai pematuhan bertanggungjawab terhadap sebarang penalti akibat kesalahan pentadbiran yang dikenakan terhadap PLT tersebut oleh SSM. Sebagai contoh gagal mengemaskini rekod dalaman PLT di dalam rekod/daftar dan dalam sistem di SSM.

Tempoh proses yang diperlukan untuk memproses permohonan pendaftaran bergantung kepada keperluan syarat-syarat seperti di atas dipenuhi sepenuhnya. Suatu notis pendaftaran akan dikeluarkan serta-merta selepas penyerahan permohonan melalui sistem MyLLP jika syarat telah dipenuhi.

Bagaimana dengan rekod perakaunan dalam PLT?

PLT masih perlu menyimpan segala rekod perakaunan untuk membolehkan akaun PLT disediakan dapat memberi pandangan sebenar dan adil tentang kedudukan hal ehwal PLT. PLT juga terlibat untuk menyimpan rekod perakauanan selama 7 tahun untuk tujuan pencukaian dan pemeriksaan dari pihak pematuhan.

Namun ia tiada peruntukkan perundangan untuk menetapkan perakaunan PLT mengikut piawaian perakaunan seperti yang diwajibkan terhadap syarikat.

Adakah PLT diwajibkan untuk membuat pengistiharan cukai di LHDN?

PLT seperti entiti perniagaan lain, dimana PLT hendaklah menghantar borang nyata cukai pendapatan dan membayar cukai yang wajib terhadapnya. Pendaftaran untuk mendapat nombor fail cukai hendaklah di buat mengguna CP600PT. PLT juga terikat dengan sebarang akta-akta yang terdapat dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Manakala kadar cukai yang dikenakan keatas PLT seperti syarikat. Di mana PLT akan di kenakan cukai atas nama entiti tersebut. Manakala rakan kongsi akan dikenakan cukai terhadap sebarang pendapatan yang diperolehi dari PLT atas nama individu.

PLT ini satu entiti baru yang di perkenalkan pada tahun 2012, saya akan cuba menerangkan lebih terperinci tentang PLT ini untuk edisi yang seterusnya. Antara yang saya akan kongsi ialah syarat dan cara untuk membuat pertukaran entiti perniagaan sedia ada ke PLT. Saya juga akan berkongsi kelebihan dan kelemahan yang ada pada PLT yang mungkin akan membantu pembaca untuk memilih entiti perniagaan yang terbaik untuk mereka.

Di harapkan pembaca dapat terus menanti untuk sesi perkongsian seterusnya.

—–

Oleh :-

Amsyari Zarir Bin Abdul Shakur
(AMACC MANAGEMENT SERVICES)

Tags: No tags

5 Responses

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *